Mengenal Imam al-Busiri Pengarang Kasidah Burdah

Mengenal al-Busiri Pengarang Kasidah Burdah - Qasidah Burdah dikarang oleh Imam al-Busiri yang dilahirkan pada tahun 610 Hijrah (1213 Masehi) dan meninggal dunia pada tahun 695 Hijrah (1296 Masehi). Nama penuhnya ialah Syarafuddin Abu Abdillah Muhammad bin Zaid al-Busiri. Beliau berketurunan Barbar, dilahirkan di Dallas (ada menyebutnya sebagai Dalos), Morocco dan dibesarkan di Busir, Mesir. Dimasa kecil, beliau telah diasuh oleh ayahandanya sendiri dalam mempelajari al-Quran dan ilmu pengetahuan yang lain. Untuk memperdalamkan lagi ilmu agama dan kesusasteraan Arab, Imam al-Busiri lalu berhijrah ke qaherah. Di qaherah, Imam al-Busiri menjadi seorang sasterawan dan penyair yang ulung. Kemahirannya didalam bidang syair mengatasi para penyair lain dizamannya. Karya-karya kaligrafinya juga terkenal dengan keindahannya. Gurunya yang paling utama ialah Abdul Abbas al-Mursi yang merupakan murid pengasas tariqat Shazili iaitu Imam Abul Hasan as-Shazili.

Melalui gurunya itulah Imam al-Busiri mengambil ijazah tariqat Shazili. Imam al-Busiri juga bersahabat baik dengan Imam Ibnu ‘Ataillah al-Iskandari yang mengarang puisi tasawwuf yang sangat terkenal dalam dunia Islam dan tidak jemu-jemu disyarah sehingga ke hari ini yaitu kitab al-Hikam.

Qasidah Burdah mengandungi 160 bait yang ditulis dengan gaya bahasa atau uslub yang menarik, lembut dan elegan. Imam al-Busiry menerjemahkan kehidupan Nabi Muhammad saw kedalam bentuk bait-bait puisi yang sangat indah. Dengan bahasa yang sebegitu indah, Imam al-Busiri telah berhasil menanamkan kecintaan dan kasihnya umat Islam kepada Junjungan Nabi Besar Nabi Muhammad saw dengan lebih mendalam. Selain dari rasa kecintaan dan kasih yang mendalam terhadap Nabi saw, nilai-nilai sastera, sejarah dan moral turut terkandung dalam qasidah tersebut. Oleh itu, tidak heran apabila qasidah burdah ini selalu dibaca di institusi-institusi pengajian tradisional malah qasidah ini turut diajar di Universiti al-Azhar, Mesir.

Imam al-Busiri yang hidup dalam zaman transisi atau perpindahan kuasa dinasti Ayyubiyyah kepada dinastik Mamalik Bahriyah. Pada ketika itu, pergolakan politik semakin gawat, akhlak masyarakat merosot dan para pemerintah terlalu mengejar kemewahan. Maka dalam suasana serba kekalutan itu, muncullah Qasidah yang dikarang oleh Imam al-Busiri yang seakan-akan mengajak manusia kembali mencontohi kehdupan Nabi Muhammad saw yang berasaskan uswatun hasanah yakni suri tauladan yang baik, mengawal hawa nafsu dan kembali kepada ajaran Islam yang berasaskan al-Quran dan Hadith.

Kasidah Burdah yang menjadi tema utama dalam karya al-Busiry itu adalah merujuk kepada jubah yang dipakai oleh Nabi Muhammad saw. Burdah milik Nabi Muhammad saw ini telah diberikan kepada Ka’ab bin Zuhair bin Abi Salma, seorang penyair terkenal Muhadramin (penyair dua zaman iaitu Jahiliyyah dan Islam). Riwayat pemberian burdah oleh Rasulullah saw kepada Ka’ab bin Zuhair dimulai ketika Ka’ab sentiasa membuat syair yang mengejek-ejek Nabi saw dan para sahabat. Kerana rasa jiwanya terancam, ia lari bersembunyi untuk melindungi diri dari kemarahan para sahabat. Ketika terjadi penaklukan Makkah, saudara Ka’ab yang bernama Bujair bin Zuhair mengutus surat kepadanya yang isinya antara lain menganjurkan Ka’ab agar pulang bertaubat dan berjumpa Rasulullah saw. Setelah memahami isi surat itu, Ka’ab pun pulang ke rumah dan bertaubat. Ka’ab lalu berangkat menuju ke Madinah. Menerusi Abu Bakar as-Siddiq, Ka’ab menyerahkan diri kepada Rasulullah saw. Ka’ab mendapat penghormatan yang tinggi dari Rasulullah saw sehingga baginda melepaskan burdahnya dan diberikan kepada Ka’ab. Ka’ab kemudiannya menggubah sebuah qasidah yang dikenali dengan nama Qasidah Burdah.

Qasidah ini ditulis dengan indah oleh seorang ahli kaligrafi, Hasyim Muhammad al-Baghdadi didalam kitab kaligrafinya yang berjudul Qawaid al-Khat al-Arabi. Burdah yang diberikan oleh Rasulullah saw kepada Ka’ab kemudiannya menjadi milik keluarga Ka’ab sehinggalah ia dibeli oleh Khalifah Muawiyah bin Abi Sufyan dengan harga dua puluh ribu dirham. Burdah itu kemudiannya dibeli pula oleh Khalifah Abu Ja’far al-Mansur dari dinasti Abbasiyyah dengan harga empat puluh ribu dirham. Burdah itu seterusnya dipakai pada setiap kali solat hari raya oleh khalifah dan kemudiannya menjadi tradisi turun-temurun.

Kita kembali kepada kisah Imam al-Busiri, beliau pernah dilantik menjadi pegawai tinggi dalam kementerian percukaian di bandar Dil Bis sewaktu pemerintahan kerajaan Mamalik. Mungkin disebabkan adanya korupsi dalam kerajaan, Imam al-Busiri mengambil keputusan untuk meninggalkan jabatannya lalu mengasingkan diri daripada perkara-perkara yang melibatkan dunia, kekayaan dan kuasa. Lantaran itu, beliau mendampingkan diri dengan Abu Abbas al Mursi, iaitu anak murid utama pengasas tariqat Syadzili, Syeikh Abu Hassan Syadzili. seperti yang disebut awal tadi, beliau menguasai bidang sastera khususnya syair. Kehebatannya dalam bidang penulisan menyebabkan beliau disanjung-sanjung oleh masyarakat dan pegawai kerajaan termasuk Raja sendiri.

Namun, nikmat ini tidak kekal lama. Imam al-Busiri tiba-tiba jatuh sakit dan diserang penyakit Syalal (lumpuh). Mengikut catatan ahli sejarah, beliau lumpuh separuh badan. Tabib-tabib yang terkemuka gagal mengobati penyakitnya. Dalam keadaan sakit lumpuh dan tidak berdaya, Imam al-Busiri mengarang qasidah yang berkaitan dengan Nabi Muhammad saw. Qasidah-qasidah ini disusun dengan begitu indah dan diulang-ulang oleh Imam al-Busiri. Akhirnya, pada satu malam ketika Imam al-Busiri tertidur, beliau bermimpi melagukan qasidah-qasidah yang dikarangnya di hadapan Baginda Rasulullah saw sendiri. Rasulullah saw dalam mimpi tersebut begitu gembira dan menyukai qasidah tersebut, lantas baginda mengusap muka Imam al-Busiri dengan kedua-dua tangan baginda yang mulia. Rasulullah saw turut menyentuh bahagian tubuh Imam al-Busiri yang lumpuh dan memakaikan Imam al-Busiri dengan burdah baginda.

Begitu sadar dari mimpi tersebut, Imam al-Busiri mendapati beliau tidak lagi lumpuh! Imam al-Busiri dengan segera keluar dari tempatnya untuk menceritakan kisahnya kepada orang lain. Beliau bertemu dengan seorang pemuda yang bertanya kepadanya, "Syeikh, bawakan kepadaku qasidah-qasidah yang telah kau karang tentang Nabi SAW." Terkejut dengan permintaan pemuda tersebut, Imam al-Busiri bertanya, "Dimanakah anda mengetahui tentang qasidah yang kukarang? Aku tidak pernah menceritakannya maupun melagukannya kepada sesiapapun!" Jawab pemuda tersebut, "Aku bermimpi malam tadi bahawa Nabi SAW didendangkan dengan qasidah-qasidah yang cukup indah yang memuji baginda. Aku lihat baginda begitu gembira dan menyukai qasidah tersebut dan memakaikan pakaian baginda (burdah) kepada orang yang melagukan qasidah tersebut, dan aku melihatmu dalam mimpiku!”

Sejak saat itu, Qasidah Burdah yang dikarang oleh Imam al-Busiri menjadi masyhur. Anak-anak Islam pada zaman silam diajarkan tentangnya dan menjadi nasyid harian. Malahan ramai di antara ‘ulama Islam seperti Ibnu Hajar Haithami yang menganggap harus untuk mempelajari qasidah ini bagi penuntut-penuntut ilmu Islam agar memupuk kecintaan terhadap baginda Rasulullah SAW. Selain dari Qasidah Burdah, sebuah lagi qasidah yang sangat terkenal yang dikarang oleh Imam al-Busiri ialah Qsidah Mudariyya.

Sumber:
- http://wardahusna.wordpress.com/

loading...

0 blogger-facebook: